Antarabangsa Thailand: Ayon mahu jumpa Iran

Oleh Staff Writer 31 Januari 2020 83
Antarabangsa Thailand: Ayon mahu jumpa Iran
Pemain futsal negara, Khairul Effendy Bahrin, mengidamkan pertemuan menentang pasukan nombor satu Asia, Iran, dalam Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand di Songkhla yang bermula Ahad ini sebagai medan pendedahan buat pemain negara menjelang Kejohanan Futsal AFF hujung tahun ini.

Hasrat skuad negara untuk menguji kekuatan dengan Turkmenistan tidak kesampaian setelah pasukan itu menarik diri daripada menyertai kejohanan jemputan berkenaan.

Ia menyaksikan Malaysia akan bertemu tuan rumah, Thailand, selain Myanmar dalam peringkat kumpulan.

Iran pula antara lawan yang menanti dalam separuh akhir seandainya anak buah Chiew Chun Yong itu mampu meneruskan kemaraan.

"Selalunya, kami akan berjumpa dengan pasukan ASEAN, jadi jika kami dapat jumpa pasukan Asia Tengah seperti Iran yang memang keras (permainannya), kami akan mendapat sesuatu yang positif," katanya.

Khairul Effendy, yang mesra disapa Ayon, adalah antara 14 pemain yang terpilih untuk mewakili negara ke Thailand.

Pemain berusia 33 tahun itu menganggap dirinya masih relevan bersama skuad negara biarpun sudah dimamah usia dan beberapa kali bergelut dengan kecederaan. 

"Saya masih belum mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya menjadi juara Kejohanan AFF.

"Saya tolak ke tepi dulu apa yang orang kata.

"Jika kelab dan jurulatih masih percayakan saya, kenapa tidak untuk saya meneruskannya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen