Derby d'Italia: Conte temui peranan baru Eriksen 

By Shaiful Shamsudin 17 January 2021 443
Derby d'Italia: Conte temui peranan baru Eriksen 
Antonio Conte merancang memanfaatkan Christian Eriksen dengan memainkan peranan di bahagian lebih bawah walaupun ada spekulasi yang menghubungkan pemain tengah itu sedia kembali ke pangkuan bekas kelabnya, Tottenham.

Eriksen kelihatan sudah sedia angkat kaki selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inter, Giuseppe Marotta, mendedahkan bahawa pemain tengah itu disenaraikan dalam pasaran perpindahan. 

Ia susulan permulaan sukar yang dihadapi bintang Denmark itu sebaik beralih ke kancah Serie A, awal musim ini, yang menyaksikan dia hanya memulakan empat perlawanan liga dan gagal mencipta sebarang bantuan gol. 

Di sebalik laporan mengaitkannya kembali ke London di mana dia pernah merekodkan 51 gol dalam 226 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi masa depan pemain berusia 28 tahun itu di Nerazzurri masih bernyala. 

Digunakan untuk memperkemaskan bahagian tengah Inter dalam kemenangan Coppa Italia ke atas Fiorentina pertengahan miunggu ini, Eriksen menikmati peralihan peranannya itu.

Empat hantaran utamanya antara elemen menarik dalam perlawanan itu selain dia melengkapkan hantaran terbanyak (45) di kawasan lawan berbanding rakan sepasukannya yang lain dan memintas bola lawan sebanyak sembilan kali. 

 

Walaupun Marcelo Brozovic berkemungkinan akan kembali ke posisi itu untuk aksi 'Derby d'Italia' dengan Juventus awal pagi esok, bekas pengendali Chelsea itu memberi bayangan mahu mengekalkan sentuhan Eriksen.

"Kami perlu mendapatkan yang terbaik daripada skuad kami," kata Conte dalam sidang media. 

"Tidak dapat dielakkan jika Eriksen menjadi pilihan di belakang Brozovic disebabkan kami tidak mempunyai pemain seperti ini yang berkemampuan mengatur gerakan di depan barisan pertahanan.

"Kami berusaha untuk mendapatkan hasil terbaik buat Christian di posisi itu di sebalik kecenderungannya sebagai penyerang dan pemain tengah.

"Ia langkah yang bagus untuk pasukan dan saya berpeluang menggunakannya menerusi peranan yang berbeza di bahagian tengah."

Inter di tempat kedua untuk empat mata di depan pasukan Juve, yang diasuh Andrea Pirlo, menguasai tangga keempat.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment