Derby d'Italia: Pirlo hormati tok guru Conte 

By Shaiful Shamsudin 17 January 2021 251
Derby d'Italia: Pirlo hormati tok guru Conte 
Andrea Pirlo menganggap Antonio Conte telah mencetuskan inspirasinya untuk beralih ke bidang kejurulatihan sambil menyedari sepenuhnya permainan minda yang cuba digunakan oleh pengurus Inter itu menjelang 'Derby d'Italia', awal pagi esok. 

Bekas bintang tengah Itali itu sempat dikendalikan Conte ketika mengemudi Juventus dan Itali sebelum bersara pada 2017 dan hanya mula memegang peranan sebagai pengurus buat pertama kalinya pada Ogos lalu.

Sentuhan Pirlo agak terumbang-ambing di Stadium Allianz, tetapi pasukannya mula mendapat rentak kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir liga untuk empat mata dipisahkan dengan Inter yang menguasai tempat kedua selain memiliki kelebihan satu perlawanan.

Walaupun ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Milan, Conte menyifatkan Juve sebagai pasukan pilihan untuk merangkul Scudetto sempena kunjungan ke San Siro itu memandangkan seteru mereka itu telah menawan liga sejak sembilan musim lalu.

Conte muncul sosok pertama yang berperanan menyiapkan asas dalam dominasi Bianconeri itu, namun Pirlo tidak mahu terlalu mengambil pusing pujian yang dilemparkan oleh bekas pengurusnnya tersebut.

 

"Dia menggemari permainan minda, saya cukup masak dengannya," kata Pirlo dalam sidang akhbar. 

"Dia cuba melepaskan tekanan pasukannya dan mengalihkannya kepada kami.

"Kami tidak mempunyai masalah, kami adalah Juventus, kami telah menang selama sembilan tahun dan adalah wajar jika kami berdepan lebih banyak tekanan.

"Tetapi mereka juga dibangunkan untuk menang dan mereka tidak kurang hebatnya daripada kami. Ini akan menjadi satu perlawanan menarik di antara dua pasukan yang mempunyai cita-cita yang sama."

Pirlo pernah melabel Conte sebagai "jurulatih terbaiknya" dan mengakui peranan besar yang dimainkan oleh pengurus berusia 51 tahun itu dalam kariernya.

Dia berkata: "Antonio adalah orang pertama yang membuatkan saya berfikir untuk belajar menjadi pengurus. Saya berterima kasih kepadanya kerana dia mengajar saya banyak perkara sebagai pemain dan dari situ saya mula memikirkan masa depan sebagai pengurus.

"Dia mencapai peringkat tertinggi dalam kariernya selain memiliki sifat kemanusiaan yang hebat tetapi esok kami akan berseteru. Kami adalah dua watak yang berbeza dan mungkin itulah sebabnya kami serasi. 

"Saya menghargai dan menyanjunginya. Dia telah banyak membentuk saya dan melakar sejarah di Juventus."

 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment