Jadual Liga-M akan dirombak -- MFL

By Muzaffar Musa 15 August 2020 548
Jadual Liga-M akan dirombak -- MFL
Jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) akan dirombak mengikut keadaan semasa tetapi ia tidak melibatkan tarikh permulaan, iaitu 26 Ogos ini.

Seiring dengan pembatalan Piala Suzuki AFF dan penundaan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, keperluan untuk skuad negara mendapatkan slot latihan dianggap bukan lagi satu keutamaan.

Ia membuka ruang untuk memberikan kelonggaran dalam penyediaan jadual yang tidak terlalu padat bagi mengelakkan risiko kecederaan pemain.

Rombakan itu difahamkan akan bermula dari perlawanan kedua penyambungan liga musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Datuk Ab Ghani Hassan, mengakui perkara itu berada dalam pertimbangan badan pengelola itu.

"Pihak MFL sedang melihat untuk memberikan lebih waktu rehat bermula perlawanan kedua dan seterusnya.

"Perubahan tarikh itu mungkin akan berlaku, Insya-Allah.

"Ia beri memberi ruang dan waktu rehat buat pasukan dengan mengambil kira tempoh perjalanan ke sesuatu venue," katanya.

Tambah Ab Ghani, perubahan itu tidak melibatkan tarikh permulaan kerana ia sudah termaktub dalam persefahaman yang melibatkan banyak pihak, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tarikh awal (penyambungan liga) itu telah ditetapkan dan pihak kerajaan juga sudah menetapkan bahawa Liga Malaysia akan bermula pada 26 Ogos ini.

"Maka kami menghormati tarikh yang telah ditetapkan itu dan ia akan bermula pada 26 Ogos ini.

"Bagi perlawanan seterusnya, kami akan mencuba untuk menjarakkan (tarikh perlawanan) dan ia terpulang kepada lembaga pengarah yang akan membincangkannya tidak lama lagi," tambahnya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment