Messi cipta rekod 700 gol

By Muzaffar Musa 1 July 2020 271
Messi cipta rekod 700 gol
Lionel Messi menjaringkan golnya yang ke-700 sepanjang kariernya ketika Barcelona terikat 2-2 dengan Atletico Madrid dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.

Legenda Argentina itu memperoleh gol ke-699 sewaktu menjaringkan sepakan penalti ke atas Leganes pada 16 Jun lalu tetapi gagal untuk menemui sasaran dalam perlawanan menentang Sevilla, Athletic Bilbao dan Celta Vigo.

Bagaimanapun, dia menamatkan penantian itu dengan menyudahkan satu lagi sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1 -- sepakan ala "Panenka" itu gagal dibaca penjaga gol, Jan Oblak.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu memegang rekod penjaring terbanyak Barcelona sepanjang karier gemilangnya bersama kelab gergasi LaLiga itu, bermula dengan penampilan pertamanya dalam pasukan utama pada 2004.

Gol-gol yang dijaringkannya membantu Barca meraih 10 gelaran LaLiga, enam kejuaraan Copa del Rey dan empat trofi Liga Juara-Juara Eropah, di mana Messi meraih 34 gelaran utama sepanjang bersama skuad Blaugrana itu.

Messi mungkin tidak menjulang sebarang trofi bersama skuad kebangsaan Argentina tetapi dia menghasilkan 70 gol yang merupakan rekod terbanyak bagi pasukan negara itu.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment