Vidal: Inter terbukti pencabar Scudetto selepas tewaskan Juventus

By Muzaffar Musa 18 January 2021 449
Vidal: Inter terbukti pencabar Scudetto selepas tewaskan Juventus
Inter membuktikan bahawa mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk mencabar gelaran Scudetto musim ini selepas menewaskan Juventus 2-0, kata Arturo Vidal.

Vidal membuka jaringan ke atas bekas kelabnya itu di San Siro awal pagi tadi, menanduk masuk bola daripada hantaran lintang Nicolo Barella bagi menjaringkan gol Serie A pertamanya sejak menjaringkan gol buat Juve pada May 2015.

Dia menjadi bekas pemain Juve pertama menjaringkan gol buat Inter dalam Derby d'Italia sejak Christian Vieri melakukannya pada 2004 dan menjadi pemain kelapan menjaringkan gol buat kedua-dua pasukan itu dalam pertembungan 'derby' berkenaan.

Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku terlepas peluang untuk melebarkan jurang jaringan Inter tetapi Barella tidak mengulangi kesilapan sama untuk menghasilkan penyudah kemas pada minit ke-52.

Skuad Nerazzurri itu memenangi perlawanan pertama ke atas Juve sejak September 2016 dan ia juga merupakan perlawnan tanpa bolos pertama mereka sejak April 2010.

Skuad kendalian Antonio Conte itu kini terikat 40 mata dengan pendahulu Serie A, AC Milan, dan melebarkan kelebihan kepada tujuh mata di depan juara bertahan, Juventus.

Milan akan kembali menjarakkan kelebihan tiga mata seandainya menewaskan Cagliari malam Selasa ini tetapi Vidal tidak berasakan pasukannya akan mengaku kalah.

"Ia amat penting buat saya dan pasukan ini. Ia satu perlawanan yang amat sukar berdepan pasukan terbaik di Itali," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol pertama bersama Inter, saya amat gembira. Saya fikir kami telah membuktikan bahawa kami mampu mencabar gelaran Scudetto.

"Ini memberikan kami keyakinan untuk terus mencabar, untuk percaya bahawa kami boleh memenangi Scudetto, memandangkan kami menewaskan pasukan terkuat dalam tempoh sembilan tahun ini. Kami percaya bahawa kami mampu melakukannya," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment