Final ATP: Djokovic gusar ancaman Thiem

By Muzaffar Musa 21 November 2020 57
Final ATP: Djokovic gusar ancaman Thiem
Novak Djokovic mengakui bahawa dia perlu berada dalam prestasi terbaik seandainya mahu menewaskan Dominic Thiem dalam separuh akhir Kejohanan Jelajah Final ATP malam ini.

Pemain nombor satu dunia itu mengesahkan tempat dalam separuh akhir selepas menewaskan Alexander Zverev 6-3, 7-6 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Djokovic, yang sedang dalam pemburuan menyamai rekod Roger Federer memenangi enam gelaran dalam kejohanan penutup musim itu, hanya mempunyai rekod empat kemenangan ke atas Thiem selain tiga kekalahan.

Bercakap dalam sesi temu bual di atas gelanggang selepas menewaskan Zverev semalam, Djokovic meramalkan perlawanan yang sukar dan menarik menentang Thiem di Arena O2, London.

Dia berkata: "Amat jelas ketika Dominic memulakan kariernya, dia beraksi terbaik di gelanggang tanah liat tetapi sudah pasti sebagai antara pemain yang paling gigih dan berdedikasi dalam Jelajah ATP, dia sudah dapat mempamerkan aksi terbaiknya di semua permukaan.

"Grand Slam pertamanya diperoleh di atas permukaan keras awal tahun ini di New York. Saya pernah bertemunya di sini tahun lalu dan tewas 7-6 dalam set ketiga. Ia satu perlawanan yang amat menarik.

"Harap-harap kami dapat satu lagi perlawanan menarik tetapi harap-harap ia dengan keputusan berbeza," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment