Justin pilih laluan lebih berliku 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Oktober 2020 749
Justin pilih laluan lebih berliku 
Malaysia terus mencari bakat muda untuk mengiringi Lee Zii Jia sebagai penerus legasi Datuk Lee Chong Wei dan Justin Hoh tidak berselindung untuk turut mengharumkan nama negara.

Meskipun gementar, pemain perseorangan nombor satu lelaki remaja negara itu tetap memberanikan diri untuk berbicara dengan wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.

"Saya tidak pernah bersua dengannya, saya ingin bertegur sapa dengannya," katanya.

Seperti bekas raja Siri Super itu, Justin berharap sentuhan magis daripada Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, mampu menggilap bakatnya mencapai peringkat tertinggi dunia. 

"Dia agak garang dalam latihan tetapi di luar, sikapnya OK sahaja," tambahnya. 

Bagi yang mengikuti perkembangan pentas remaja negara, pemain berumur 16 tahun itu mula mencuri tumpuan menerusi gandingannya bersama Fazriq Razif.

Begitupun, waktu mereka dalam acara beregu mungkin tidak lama susulan kemahuannya untuk fokus dalam saingan perseorangan.

Dalam penentuan ranking dalaman skuad remaja baru-baru ini, Justin menamatkan kempen sebagai pemain nombor satu selepas mengatasi pemain lebih senior seperti Jacky Kok.

"Saya tidak banyak berfikir ketika beraksi jadi saya terkejut dapat meraih kejayaan itu.

"Saya lebih cenderung untuk beraksi dalas perseorangan berdasarkan fizikal saya.

"Walaupun kategori ini memerlukan saya lebih bekerja keras, saya sanggup hadapi cabarannya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen