Conte tidak salahkan pemain Inter selepas seri minit akhir

Oleh Muzaffar Musa 22 Oktober 2020 84
Conte tidak salahkan pemain Inter selepas seri minit akhir
Antonio Conte berkata tidak ada apa perlu diubah pemain Inter Milan meskipun perlu menunggu hingga minit ke-90 untuk mengikat Borussia Monchengladbach 2-2 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Inter di ambang kemenangan selepas Romelu Lukaku membuka jaringan tidak lama selepas babak kedua bersambung tetapi gol penalti Ramy Bensebaini dan jaringan lewat Jonas Hofmann seakan-akan mengubah arah perlawanan itu memihak ke wakil Bundesliga berkenaan.

Bagaimanapun, Lukaku melakukan penyudah jarak dekat pada penghujung permainan untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas Inter kehilangan Alexis Sanchez gara-gara kecederaan adductor dalam separuh masa pertama perlawanan Kumpulan B di Milan itu.

Ketua jurulatih, Conte, enggan mempersalahkan pemainnya dan berkata kehilangan pertahanan sayap, Achraf Hakimi, yang disahkan positif koronavirus tidak lama sebelum perlawanan itu bermula, memberikan impak besar buat pasukannya.

"Kami perlu fokus untuk memberikan yang terbaik di atas padang," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Hanya itulah yang kami perlu lakukan, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menerima berita Hakimi positif (COVID-19) pada jam 5 petang.

"Sehingga pagi ini, dia masih berlatih bersama kami. Dia sepatutnya memulakan perlawanan, jadi kami sudah menyediakan taktikal perlawanan bersamanya.
 
"Saya memberitahu pemain supaya menghadapi setiap situasi dengan bangga.

"Ia tidak mudah daripada aspek psikologi tetapi pemain kami merupakan orang dan pemain yang baik.

"Malam ini, kami melakukan yang terbaik ke atas pasukan yang hebat dan berpotensi, pasukan yang mempunyai kualiti teknikal dan fizikal.

"Saya tidak dapat ingat satu aksi menyelamat Samir Handanovic, jika tidak kami berpeluang untuk memenangi perlawanan ini. Saya tidak ada apa untuk diubah pemain kami.

"Tidak dapat dinafikan, kami perlu memperbaiki beberapa situasi di mana terdapat kesilapan dan kami perlu bekerja keras untuk tidak mengulanginya," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen