Griezmann: Messi mahu mati bersama saya dan ia dirasakan setiap hari

Oleh Muzaffar Musa 24 November 2020 3704
Griezmann: Messi mahu mati bersama saya dan ia dirasakan setiap hari
Penyerang Barcelona, Antoine Griezmann, menegaskan bahawa hubungannya dengan Lionel Messi berlangsung amat baik dengan berkata bintang Barcelona itu bersedia untuk mati bersamanya.

Griezmann bergelut sepanjang di Barcelona sejak tiba daripada Atletico Madrid dengan perpindahan bernilai €120 juta (RM581.5 juta) tahun lalu.

Hubungan penyerang itu dengan Messi kerap dijadikan persoalan dan Griezmann mengakui bahawa keputusannya untuk menolak tawaran Barca pada 2018 telah memberi kesan kepada pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu.

Bagaimanapun, Griezmann berkata hubungannya dengan Messi ketika ini tidak perlu diragukan.

"Saya tiba di Barcelona selepas menolak tawaran itu setahun sebelumnya," kata Griezmann kepada Movistar.

"Terdapat banyak persoalan mengenai perkara itu termasuk di bilik persalinan, daripada wartawan, daripada peminat dan disebabkan itu apabila saya tiba di sini, saya mahu memohon maaf sewaktu di atas padang. Jika ada sesiapa yang terasa, saya mahu memohon maaf dan memberikan segala-galanya di atas padang.

"Saya bercakap dengan Leo ketika tiba di sini dan dia berkata bahawa saya menghampakannya kerana menolak untuk datang ke sini pada awalnya. Ia kerana dia sudah membuat kenyataan umum tetapi saya kemudian berkata tidak.

"Tetapi kami sudah berada dalam satu pasukan dan dia mahu mati bersama saya dan saya dapat lihat dan merasainya setiap hari," katanya.

Bekas pengurus Griezmann dan bapa saudaranya, kedua-duanya mempertikaikan peranan Messi awal bulan ini dengan Barca kini berada di tangga ke-13 LaLiga.
 
Tetapi pemain kebangsaan Perancis itu mengakui sudah tidak terlalu rapat dengan kedua-dua individu berkenaan.

"Saya sudah tidak berhubung dengannya (bekas pengurus) sejak saya berkahwin.

"Saya menjemputnya ke majlis perkahwinan saya tetapi dia tidak hadir. Kerana itu saya tidak lagi berhubung dengannya.

"Dia bercakap begitu kerana bapa dan kakak saya enggan melayan wartawan, jadi mereka menghubunginya. Tetapi Leo tahu saya amat menghormati dan meminatinya," katanya.

Griezmann menambah: "Bapa saudara saya tidak tahu bagaimana bola sepak berjalan. Dan pada akhirnya, wartawan mula menggunakan petikan ayat daripadanya.

"Saya beritahu Leo bahawa saya tidak pernah berkata seperti itu. Hakikatnya, saya tiada nombor telefon bapa saudara saya," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen