Milan makin matang tanpa Ibrahimovic -- Bonera 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 November 2020 369
 Milan makin matang tanpa Ibrahimovic -- Bonera 
LILLE 1 MILAN 1

Daniele Bonera berasakan Milan telah mempamerkan semangat berpasukan yang teguh sekalipun tanpa Zlatan Ibrahimovic ketika diikat Lille dalam Liga Europa, awal pagi tadi. 


Rossoneri mendahului pertembungan Kumpulan H di Perancis itu hasil jaringan Samu Castillejo, seminit selepas permainan bersambung tetapi kedudukan kembali seimbang 19 minit kemudian menerusi gol penyamaan Jonathan Bamba.

Pendahulu Serie A itu tumpas 0-3 kepada lawan yang sama dalam pertemuan terakhir tetapi kali ini tidak banyak memberi ruang kepada tuan rumah sebelum gawang mereka dirobek menerusi satu-satunya serangan balas lawan dalam separuh masa kedua. 

Bagaimanapun, Milan masih mampu menarik nafas lega biarpun sekadar menghasilkan satu jaringan sepanjang 90 minit di sebalik ketiadaan Ibrahimovic yang tercedera. 

Pemain berusia 39 tahun itu, yang ditimpa kecederaan hamstring ketika merakamkan dua gol dalam kemenangan 3-1 di Napoli, telah menghimpunkan 12 gol musim ini.

Kelab gergasi Itali itu mencatat enam kemenangan dan empat seri sepanjang 10 perlawanan tanpa kelibat penggempur veteran tersebut sepanjang tahun ini, lantas Bonera memuji kesungguhan barisan pemainnya mengekang Lille.

 
"Ini adalah identiti kuat yang kami miliki dalam diri kami semua ketika ini. 

"Kami gembira dengan tugas yang dilaksanakan pemain-pemain setiap hari. Sayang sekali kami tidak menang malam ini," kata penolong jurulatih itu yang memainkan peranan utama di bangku simpanan berikutan ketiadaan Stefano Pioli yang perlu menjalani kuarantin akibat COVID-19. 

"Sebelum perlawanan ini kami sudah pun membuktikan bahawa pasukan ini mampu menampung ketiadaan Ibra. Dia adalah pemain yang sangat penting tetapi semangat pasukan ini akan tetap sama, dengan atau tanpanya."

Perancang muda Milan, Sandro Tonali, turut melahirkan kekecewaan gagal memungut tiga mata, namun dia percaya mereka telah membuktikan kemampuan tanpa kelibat penyerang utama mereka itu.

"Kami lebih berhak mendahului perlawanan. Kami tidak menguasai permainan tetapi kami merampas bola dengan segera seperti sebuah pasukan yang hebat dan itulah penyesalan terbesar kami -- gagal memenangi perlawanan ini," katanya.

"Beraksi dengan kehadiran Ibra pastinya akan membantu; dengan adanya sang juara sepertinya akan menjadikannya lebih mudah. ​​Tetapi kami perlu beraksi dengan baik walaupun tanpanya dan kami telah menunjukkan bahawa kami mampu beraksi sebagai sebuah pasukan yang hebat."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen