Perez: Cristiano Ronaldo tidak akan kembali ke Real Madrid 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 April 2021 4374
 Perez: Cristiano Ronaldo tidak akan kembali ke Real Madrid 
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, akan melakukan segala yang terdaya agar gergasi LaLiga itu tidak kehilangan kedudukan sebagai salah sebuah kelab terkemuka di dunia apabila terus dikaitkan dengan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, dan sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Madrid telah lama dikaitkan dengan bintang muda Perancis itu sementara penyerang Dortmund tersebut mula menjadi sasaran perpindahan ke ibu kota Sepanyol berkenaan.

Ketua Liga Super Eropah (ESL) itu tampil menjawab spekulasi mengenai Mbappe dan Haaland dengan memberitahu El Chiringuito: "Peminat selalu meminta saya membeli Mbappe.

"Jawapan saya? Saya katakan: jangan bimbang, ya dia merupakan seorang pemain yang bagus. 

"Saya belum pernah bercakap dengan Mbappe. Paling tidak sekarang. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kontraknya bersama PSG."

Mengenai Haaland, yang turut dikaitkan dengan Barcelona, ​​Manchester City, Manchester United, PSG, Chelsea, Liverpool dan Juventus, Perez menambahkan: "Ayah Haaland telah mengunjungi tempat latihan kami di Valdebebas. 

"Semua orang akan mempunyai reaksi yang sama: tidak pernah melihat sesuatu yang seperti ini.

"Haaland dan Mbappe merupakan dua pemain yang sangat bagus tetapi apa yang dilakukan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo adalah amat luar biasa."






Perez, bagaimanapun, menolak akan bergabung semula dengan penjaring gol terbanyak kelab itu, Ronaldo.

Bintang Portugis itu -- yang meninggalkan Madrid untuk berkelana ke Juventus pada 2018 -- disebut-sebut akan meninggalkan Turin dan kembali ke Los Blancos.

Tetapi Perez berkata: "Cristiano Ronaldo tidak akan kembali ke Real Madrid.

"Tidak masuk akal, dia mempunyai kontrak dengan Juventus. Saya sangat mencintainya, dia banyak menghadiahkan kejayaan kepada kami."

Perez juga ditanya mengenai masa depan kapten Madrid, Sergio Ramos, yang tidak mempunyai kontrak pada akhir musim.

Ramos yang berusia 35 tahun -- yang menjadi idaman United, PSG dan Chelsea -- belum mahu menyatakan komitmen baru di Santiago Bernabeu.

"Saya suka Sergio Ramos tetapi kami berada dalam situasi kewangan yang sangat buruk di Real Madrid," tambahnya sambil menegaskan Vinicius Junior tidak dijual. 

"Tidak ada pihak yang memasukkan wang ke dalam kelab ini.

"Adakah dia akan meninggalkan kelab? Saya tidak mengatakan itu. Banyak perkara boleh berlaku. Kami akan memikirkannya pada akhir musim ini."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen