Scolari angkat kaki selepas selamatkan Cruzeiro

Oleh Muzaffar Musa 26 Januari 2021 1877
Scolari angkat kaki selepas selamatkan Cruzeiro
Ketua jurulatih veteran, Luiz Felipe Scolari, meninggalkan Cruzeiro selepas membawa pasukan itu kekal dalam Serie B Brazil.

Cruzeiro tersingkir secara mengejut daripada liga divisyen utama buat kali pertama dalam sejarah mereka pada 2019 dan pada Oktober lalu, pasukan itu melantik jurulatih juara Piala Dunia, Scolari, dengan kontrak sehingga 2022.

Ketika pengendali berusia 72 tahun itu mengambil alih, pasukan juara Brazil empat kali itu berada di tangga kedua terbawah dan dipotong enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati bersalah tidak membayar hutang yuran perpindahan.

Tujuh perlawanan pertama tanpa kalah sejak ketibaan Scolari mengeluarkan mereka daripada zon penyingkiran tetapi dua kelahan berturut-turut kepada Oeste dan Juventude bulan ini kembali meletakkan mereka dalam kedudukan bahaya ke Serie C.

Kemenangan 2-1 ke atas Operio-PR minggu lalu menyelamatkan kedudukan mereka tetapi Scolari memilih untuk mengundurkan diri.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Cruzeiro Esporte Clube dan Luiz Felipe Scolari bersepakat memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan jurulatih yang kaya pelbagai kejuaraan itu.

"Bekerjasama dengan kelab ini ketika waktu paling mencabar sepanjang sejarah penubuhannya, Scolari dan barisan kejurulatihannya telah memenuhi misi mereka dalam memastikan Cruzeiro kekal dalam Serie B dengan membawa pasukan ini melalui 21 perlawanan dan memperoleh sembilan kemenangan, lapan seri dan empat kekalahan

"Cruzeiro berterima kasih dan mengiktiraf usaha, dedikasi dan profesionalisme Felipao dan staf kejurulatihannya pada waktu yang amat penting ini dan mendoakan kejayaan dan kebahagian buat jurulatih pemenang Piala Dunia itu dan stafnya."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen