Shahrul: De Paula mampu bantu perkuat skuad Harimau Malaya

Oleh Ammar Hakim 3 Mac 2021 1625
Shahrul: De Paula mampu bantu perkuat skuad Harimau Malaya
Kapten Perak FC, Shahrul Saad, mempertahankan tindakan pasukan itu bersama Persatuan Bolasepak Malaysia yang menjadikan rakan sepasukannya, Guilherme de Paula sebagai pemain naturalisasi negara.

Ketika berbicara bersama Zulhelmi Zainal Azam, Shahrul percaya penyerang dari Brazil itu mampu memberi sumbangan kepada Harimau Malaya khususnya dalam kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Jun nanti.

"Walaupun dia telah berusia, tetapi dia memiliki kudrat yang baik untuk beraksi bersama skuad kebangsaan. Seorang pemain yang profesional di atas dan di luar padang. Saya berharap dia dapat memberikan impak baik bersama Perak dan skuad Malaysia," kata Shahrul.

Terdahulu, pengesahan mengenai De Paula sebagai pemain naturalisasi negara mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanahair.

Rata-ratanya tampak tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan atas faktor usia bekas penyerang Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Perak FC, Shahrul menganggap kehadiran Farhan Roslan sebagai muka baru tepat pada waktunya.

Farhan yang merupakan pemain sayap Kedah Darul Aman FC sah menyertai The Bos Gaurus secara pinjaman bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

"Ini adalah perkara yang baik bagi Perak kerana Farhan merupakan seorang pemain yang berpengalaman bersama Kedah. Saya berharap dia dapat membantu pasukan terutama daripada segi serangan."

Imej: Twitter @peraktbgmy

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen