Terzic puji Sancho kembali temui sentuhan terbaik

Oleh Ammar Hakim 28 Februari 2021 171
Terzic puji Sancho kembali temui sentuhan terbaik
Ketua jurulatih sementara Borussia Dortmund, Edin Terzic, memuji Jadon Sancho selepas menjadi pemain termuda Bundesliga mencapai 50 assist.

Sancho merekodkan assist ke-50 dalam penampilan ke-99 selepas Dortmund mengatasi Arminia Bielefeld 3-0 semalam.

Pemain berusia 20 tahun kelahiran England itu, yang terus dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United, melakukan lorongan buat Mahmoud Dahoud bagi jaringan pembukaan pada minit ke-48 sebelum mencetak jaringan menerusi sepakan penalti 10 minit kemudian.

"Kemenangan yang baik, jaringan dan assist. Gembira kerana menjadi pemain termuda Bundesliga mencapai 50 assist," kata Sancho menerusi Twitter

Selepas tamat perlawanan, Terzic berkata, "Saya sangat gembira dengan cara Jadon menampilkan dirinya. Dia membuktikan juga dia mampu meledak gol.
 

"Dia sekali lagi menjaringkan gol dan mendapatkan assist. Saya bercakap mengenainya sebelum ini. Ia bukan seperti dia telah lupa bagaimana bermain bola sepak. Dia seorang yang masih muda, kami dimanjakan dengan betapa bagusnya persembahan yang dipamerkan untuk kelab ini.

"Kami cuba mendapatkan semula sentuhan terbaiknya. Terdapat dua cara untuk melakukan perkara itu. Pertama, dengan cara bagaimana kami mengendalinya secara peribadi, berbincang mengenai banyak perkara. Kami turut menganalisis dirinya.

"Kedua kami membantunya sebagai sepasukan dan ia terbukti berhasil daripada apa yang dipamerkan ketika bergandingan bersama Giovanni Reyna, Jude Bellingham dan Raphael Guerreiro."

Dortmund, yang kini meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Bundesliga, menghuni tangga kelima liga -- tiga mata di luar kelompok empat erbaik dan 13 mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen