Vinicius dicabar kuatkan fizikal 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 November 2020 177
 Vinicius dicabar kuatkan fizikal 
LUDOGORETS 0 TOTTENHAM 4 

Jose Mourinho menyeru Carlos Vinicius supaya menurunkan berat badannya demi memberi impak bersama Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memperagakan aksi mengagumkan dalam Liga Europa.​


Vinicius meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 4-0 Tottenham ke atas Ludogorets dalam saingan Kumpulan J, awal pagi tadi, untuk kelab London itu menghampiri peringkat kalah mati.

Jaringan berganda itu adalah gol pertama Vinicius buat Spurs sejak dia menyertai mereka secara pinjaman daripada kelab gergasi Portugal, Benfica, bulan lalu. 

Vinicius sudah pun terbabit dengan lima gol (dua gol dan tiga bantuan jaringan) dalam empat penampilan Liga Europa musim ini.

Namun, ketika tampil dalam sidang media, Mourinho berpesan kepada Vinicius bahawa anak buahnya itu perlu bersedia dengan permainan fizikal sekiranya ingin berjaya di England.

"Dia jarang diturunkan terutama dalam EPL tetapi dia membantu kami memenangi perlawanan di West Bromwich Albion dan di Liga Europa, jadi dia dalam keadaan baik dan sedang menyesuaikan diri," kata pengurus Portugis itu.

"Bagus kerana dia menjaringkan gol penting. Kemudian dalam separuh masa kedua dia mencipta umpanan gol untuk Lucas Moura.

"Dia matang dan kuat cuma perlu meningkatkan tahap fizikalnya dalam EPL tetapi apapun saya gembira.

"Bagus untuk pasukan memilikinya kerana jika Harry Kane perlu direhatkan misalnya, maka skuad kami kini jauh lebih seimbang."

 

Gol kedua Vinicius diilhamkan Dele Alli, yang sering tersisih musim ini.

Namun, sikap pemain tengah menyerang itu dalam kunjungan ke Bulgaria menarik perhatian Mourinho.

"Jaringan kedua itu 75 peratus dicetuskan Dele Alli," tambahnya. 

"Itulah kerjasama berpasukan. Dia mampu mencetak nama sebagai penjaring tetapi lebih suka untuk membiarkan Vinicius menyudahkannya. ​​Seorang pemain yang mementingkan pasukan barulah mampu melakukannya. Tiada risiko dan 2-0. Tindakannya tidak mengejutkan saya."

Tottenham telah memenangi lima perlawanan berturut-turut buat pertama kalinya sejak November 2018, di bawah kendalian Mauricio Pochettino (enam kemenangan) sementara tidak dibolosi dalam tiga rentetan aksi sejak April 2019 menjelang kunjungan ke Chelsea, Ahad ini.

Menurut lagi kepada BT Sport: "Kejohanan adalah kejohanan, dalam EPL sekalipun tiada bezanya kerana setiap perlawanan mempertaruhkan mata. Kami tidak kepada kedudukan ketika ini."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen