Hasrat Penang FC cukup jelas, mereka mahu membawa pulang bekalan selesa sebelum kembali beraksi di laman sendiri dalam perlawanan timbal balik separuh akhir MFL Challenge Cup.
Justeru, pertembungan menentang Kelantan TRW FC malam ini bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya menjadi medan penting untuk menentukan pasukan mana memiliki kelebihan awal.
Advertisement
Menjelang pertemuan getir itu, keyakinan jelas terpancar dalam kem Harimau Kumbang.
Dalam satu ciapan media sosial rasmi Penang FC di Instagram, pengemudi jentera tengah pasukan, Erick Brendon, menegaskan pasukan berada dalam keadaan fokus dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran di tempat lawan.
“Kami fokus, yakin dan bersedia sepenuhnya.
"Kami menghormati pihak lawan, tetapi pada masa sama kami percaya dengan kualiti serta kekuatan pasukan kami.
"Kami akan berjuang sehingga wisel penamat untuk memastikan tempat ke final menjadi milik kami,” katanya.
Nada sama disuarakan rakan sepasukan, Douglas Coutinho, yang melihat separuh akhir ini sebagai peluang besar untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan.
“Kami semua berkongsi impian dan matlamat yang sama, iaitu untuk menang.
"Kami tahu ia bukan tugas mudah, tetapi kami percaya antara satu sama lain dan akan memberikan segala-galanya di atas padang demi Penang dan kepada semua yang ada bersama kami,” katanya.
Sementara itu, di laman media sosial Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), tonggak pertahanan, Kamil Amirul, turut melaungkan tekad besar bagi memastikan trofi dapat dibawa pulang ke bumi Pulau Pinang.
“Kami sangat fokus untuk saingan MFL Challenge Cup kali ini. Kami teruja dan kini tumpuan sepenuhnya pada pusingan separuh akhir. Kami akan berikan yang terbaik untuk membawa pulang trofi ke Penang,” tegasnya.
Kini, segalanya bakal ditentukan dalam 90 minit yang penuh debaran malam ini.
Sama ada Harimau Kumbang berjaya mengaum garang di bumi lawan atau Kelantan TRW FC yang mampu lakukan sebaliknya, aksi malam ini pasti menjanjikan pertarungan sengit demi perebutan tempat ke perlawanan akhir.
