Kekuatan Liverpool buka mata anak buah Arteta 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 September 2020 7042
Kekuatan Liverpool buka mata anak buah Arteta 
LIVERPOOL 3 ARSENAL 1 

Mikel Arteta mengakui Liverpool telah memberi bayangan sejauh mana usaha yang perlu dilakukan Arsenal sebelum mereka mampu bersaing dengan pasukan elit berikutan kekalahan anak buahnya 1-3 di Anfield, awal pagi tadi.


The Gunners memimpin perlawanan melalui percubaan tepat pertama mereka pada minit ke-25 selain hanya berupaya melakukan dua sentuhan di dalam kotak penalti lawan -- sebelum juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bangkit. 

Sadio Mane menyamakan kedudukan 147 saat kemudian sementara Andy Robertson, yang tersilap langkah dalam gol pembukaan Alexandre Lacazette, meletakkan The Reds di depan sebelum bintang baru, Diogo Jota, memastikan kemenangan bergaya tuan rumah. 

Arteta, yang memacu kelab London utara itu melakar dua kemenangan ke atas Liverpool sebelum ini, terpaksa akur bahawa skuad kendalian Jurgen Klopp tersebut jauh lebih baik dalam pertemuan terbaru ini.

"Kami memberi saingan dalam sebahagian besar perlawanan ini. Kenyataannya, mereka lebih unggul daripada kami dalam pelbagai aspek. Anda boleh melihat faktor itu dalam beberapa fasa," katanya kepada Sky Sports.

"Saya sangat gemar dengan cara pasukan ini beraksi dan saya memiliki kepercayaan terhadap mereka. Inilah tahap yang harus kami capai.

"Kami meniti laluan yang berbeza. Mereka sudah dibentuk selama lima tahun sementara kami baru beberapa bulan."



Lacazette mensia-siakan peluang menarik untuk menjadikan kedudukan 2-2 dalam babak kedua apabila gagal mengatasi Alisson ketika berdepan peluang terhidang. 

Ketumpulan itu dihukum Jota -- baru dimasukkan lapan minit --  untuk jaringan pertamanya bersama kelab Merseyside berkenaan bagi menghadiahkan kekalahan pertama buat Arsenal musim ini.

"Saya yakin kami akan mempunyai peluang dalam separuh masa kedua," tambahnya. 

"Kami mungkin mempunyai peluang terbaik dalam perlawanan ini. 

"Tetapi anda harus memasukkan bola ke gawang sebaik beroleh kesempatan. Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki."

Lacazette telah menyumbat gol dalam setiap tiga perlawanan liga, lantas mengundang keterujaan pengurus dari Sepanyol itu. 

"Dia memiliki peluang terbaik untuk menjadikannya 2-2 dan dia sekali lagi meletakkan kami di kedudukan yang sangat kukuh (gol pendahuluan)," kata pengurus itu lagi. 

"Dia menonjolkan satu aksi yang hebat, sekali lagi mempamerkan prestasi luar biasa dan saya gembira dengannya. 

"Mereka semua mahu menang. Inilah yang saya suka tentang corak pemikiran pasukan ini. Mereka sedia  menghambat bola di setiap inci padang dan mereka mahu menang."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen