Solskjaer cabar United bukti peningkatan selepas benam PSG

Oleh Muzaffar Musa 24 Oktober 2020 333
Solskjaer cabar United bukti peningkatan selepas benam PSG
Ole Gunnar Solskjaer mencabar Manchester United untuk membuktikan bahawa mereka telah meningkat sejak menewaskan Paris Saint-Germain (PSG).

United merekodkan kemenangan 2-1 ke atas PSG dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Paris awal pagi Rabu lalu dan ia merupakan pencetus semangat mereka sebelum berdepan Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Pasukan gergasi EPL itu turut mengejutkan PSG pada Mac tahun lalu tetapi kemudian hanya memenangi dua daripada 12 perlawanan terakhir musim 2018-19.

Solskjaer, yang pasukannya kini berada di tangga ke-15 EPL dengan enam mata daripada empat perlawanan, berkata bahawa dia mahu melihat United meningkat selepas menewaskan PSG.

"Bagi saya, kami kini memerlukan ketekalan," kata pengurus United itu kepada wartawan.

"Kami terlalu banyak turun naik. Kamu perlu mengekalkan prestasi di laman sendiri dan bagi saya, minggu depan adalah ujian yang paling sukar kerana kita tahu apa yang berlaku selepas kami menewaskan PSG sebelum ini -- responsnya tidak begitu baik, bukankah begitu?

"Ia peluang untuk pemain dan staf kami untuk membuktikan bahawa mereka telah melupakan perkara itu," katanya.
 
United akan menghadapi Chelsea selepas melalui dua kekalahan di laman sendiri kepada Crystal Palace dan Tottenham.

Dengan setiap perlawanan kini dilangsungkan secara tertutup berikutan pandemik koronavirus, Solskjaer berkata ia bukanlah permulaan musim seperti kebiasaannya.

"Baiklah, liga musim ini bermula dengan amat pelik dan ia suasana yang amat pelik di stadium.

"Ia tidak sama, ia tidak seperti sebelum ini. Tanpa penyokong, ia kurang produktif.

"Selepas menewaskan PSG, ia hampir seperti kami pergi ke pusat latihan dan berlatih dengan baik. Kemuncaknya hilang," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen