Gelembung sukan penting demi kelangsungan Liga M

Oleh Ammar Hakim 1 Mac 2021 121
Gelembung sukan penting demi kelangsungan Liga M
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican memperjuang keperluan saingan Liga Malaysia (Liga M) namun kunci utama adalah gelembung sukan itu sendiri yang diibaratkan sebagai peluang akhir yang perlu dipatuhi.

Tiada lagi istilah tunda, atau dibatalkan untuk saingan Liga Malaysia.

Namun ada syaratnya iaitu, model gelembung sukan perlu dijaga dan dipatuhi.

Ia sekaligus menepati janji dan kepercayaan yang telah diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga membawa kepada penganjuran Liga Malaysia yang akan membuka tirai minggu depan.

"Pada waktu ini perbincangan juga dirujuk kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), mereka juga telah diberi pandangan supaya model yang kita buat, bukan hanya model selamat tapi praktikal," katanya.

Demi kelangsungan ekosistem bola sepak, segala usaha yang telah dilakukan dari awal hanya sia-sia jika gelombang sukan gagal menepati objektif.

Ia ditambah dengan nilai tajaan bagi musim ini mengatasi jumlah musim lalu dengan jumlah sebanyak RM33 juta.

"Sehingga kini, jumlah penajaan adalah RM33,428,000 dan jumlah itu melibatkan hak penyiaraan, penajaan yang antaranya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

"Itu jumlah kita berjaya dapatkan dalam tempoh pandemik Covid-19 dan kita sebenarnya ada beberapa lagi peluang penajaan yang masih dalam perbincangan dan belum ditandatangani, jadi kita harap akan ada penambahan dalam masa terdekat," kata Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen