Kuala Lumpur United bakal diheret ke FIFA?

Oleh Ammar Hakim 27 Januari 2021 1390
Kuala Lumpur United bakal diheret ke FIFA?
Jurulatih dari Chile, Simon Elissetche mahu mengheret Kuala Lumpur United FC ke Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) selain perlu membayar ganti rugi RM3.5 juta.

Ia susulan pengalaman pertama yang buruk buat Simon di Malaysia, selepas kontraknya ditamatkan sebelum liga bermula serta didakwa memiliki lesen profesional tidak diiktiraf.

Sebelum ini, jurulatih yang fasih berbahasa Indonesia itu telah menandatangani kontrak enam bulan yang ditawarkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) 18 November lalu.

Simon tiba di Kuala Lumpur 22 Disember lalu dan menjalani proses kuarantin sehingga 28 Disember 2020.

Dia turut mendakwa Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Kuala Lumpur United, Stanley Bernard, menyatakan dalam satu laporan bahawa sijil kejurulatihan yang dimiliki tidak diiktiraf menjadikan pasukan tersebut melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih musim ini.

"Saya sangat kecewa kerana pihak Kuala Lumpur United tidak mengambil khidmat saya. Saya mahu membersihkan nama saya dan membuktikan kepada semua pihak kemampuan saya dan sikap profesional saya sebagai jurulatih," kata Simon.

"Saya berasakan telah berlaku pelanggaran kontrak kerana Simon telah menandatangi kontrak sebelum tiba di Malaysia tetapi atas sebab diketahui mereka, pihak Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat beliau," kata peguam Simon, Mohd Zhafri Aminurashid.

Bagaimanapun, CEO Kuala Lumpur United, Stanley Bernard, ketika ditemui menyatakan bahawa dia belum menerima sebarang surat rasmi daripada pihak Simon dan peguam selain menganggap mungkin wujud satu kekeliruan kerana kontrak itu ditandatangani bukan bersama pasukannya.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen