Bolos saat akhir bukan kerana KL City hilang fokus -- Bojan Hodak

Oleh Muzaffar Musa 17 April 2021 2540
Bolos saat akhir bukan kerana KL City hilang fokus -- Bojan Hodak
Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, tidak berasakan pasukannya hilang fokus di penghujung permainan sehingga dibolosi oleh Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super malam tadi.

Ia kerana perkara sama pernah berlaku ketika skuad Warga Kota itu terikat 2-2 dengan Petaling Jaya City FC awal bulan ini tetapi situasi kali ini ternyata berbeza.

Bagi pengendali dari Croatia itu, ketiadaan penggempur utama, Dominique Da Sylva, turut menjadi penyebab pasukannya gagal menemui sasaran sehingga tewas 0-1 dalam perlawanan itu.

"Hari ini, ia tiada kaitan dengan konsentrasi kerana ia melibatkan tuah, bola yang diperoleh Makan Konate (penjaring gol) juga diberikan oleh pemain kami.

"Pemain saya mengeluarkan bola dan terkenanya, kemudian dia menjaringkan bola ke penjuru atas gawang.

 "Sejujurnya, kali ini memang tiada kaitan dengan konsentrasi. Perlawanan sebelum ini mungkin benar tetapi kali ini, ia tentang nasib," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, lega apabila memastikan kemenangan kedua pasukannya di laman sendiri musim ini.

Walaupun penyerang utama, David Da Silva, masih belum berada di tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan, jaringan tunggal Konate pada akhir babak sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat skuad Peteh itu, sekali gus kekal memberikan cabaran buat pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kalau kita lihat dalam perlawanan ini, keadaan Da Silva lebih baik berbanding satu atau dua perlawanan lalu.

"Bagi saya, keadaannya masih belum cergas 100 peratus tetapi saya masih yakin dengannya dan saya tahu kemampuan dan kebolehannya.

"Tetapi apa yang penting, dia dapat bermain dan ia bagus untuk mendapatkan kecergasannya," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen