Dollah bangga semangat juang Sri Pahang beraksi 10 pemain

Oleh Muzaffar Musa 17 April 2021 1233
Dollah bangga semangat juang Sri Pahang beraksi 10 pemain
Ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh, berbangga dengan reaksi yang dipamerkan pemainnya biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 20 minit terakhir perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super semalam.

Sri Pahang tewas 0-2 di Stadium Darul Makmur selepas JDT memperoleh satu gol dalam setiap separuh masa hasil sentuhan Leandro Velazquez dan Bergson Da Silva.

Pasukan Tok Gajah itu terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila Ezannie Mat Salleh diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindakannya melakukan terjahan tinggi ke atas Gonzalo Cabrera pada minit ke-70.

Meskipun dalam serba kekurangan, Sri Pahang terus mengancam kubu lawan dan situasi itu membuatkan Dollah berbangga dengan pemainnya.

"Kami sudah mendapatkan rentak, jadi apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain, saya berasa agak bangga juga kerana mereka masih berjuang untuk menjaringkan gol (penyamaan) dan pada minit-minit terakhir, kami hampir mendapatkan gol.

"Tetapi apabila semua pemain berada di depan untuk mencari gol, kami tertinggal bahagian belakang dan pasukan yang berpengalaman luas seperti JDT dapat memanfaatkannya," katanya.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen