ISTAF batal Kejohanan Dunia Piala Raja Thai

Oleh Muzaffar Musa 28 September 2020 268
ISTAF batal Kejohanan Dunia Piala Raja Thai
Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) terpaksa membatalkan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok Disember depan setelah negara tuan rumah, Thailand, tidak dapat memberi jaminan keselamatan buat kesemua negara yang terlibat berikutan pandemik COVID-19 dan pergolakan politik di negara itu.

Piala Raja Thai sepatutnya berlangsung pada 21 Disember depan dan pembatalan itu menyaksikan tiada sebarang kejohanan sepak takraw antarabangsa bagi tahun ini.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader, tampil mengesahkan perkara itu dengan berkata kepada Nadi Arena: "Soal sepak takraw memang penting dalam kejohanan dunia tetapi saya dan rakan-rakan sudah bersetuju supaya kejohanan itu dianjakkan ke tahun depan.

"Dalam kata lain, tiada kejohanan sepak takraw dunia buat tahun ini.

"Ia bukan hanya di Thailand malah Piala Dunia Sepak Takraw di Goa, India juga telah dibatalkan kerana kami mendapati India menghadapi masalah terbesar dengan COVID-19 ini," katanya.

Keadaan itu jelas memberi tamparan buat kem negara yang mengidamkan untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan sejak memulakan kembali sesi latihan bulan lalu.

"Memandangkan Piala Raja Thai sudah dibatalkan, tumpuan bagi tahun 2020 ini adalah saingan STL (Liga Sepak Takraw)," kata jurulatih teraju skuad negara, Rashidi Nordin.

"STL itu sendiri terdapat 18 perlawanan (bagi setiap pasukan) yang mana ia merupakan satu ujian buat pemain kebangsaan biarpun mereka mewakili negeri masing-masing.

"Ia merupakan medan ujian buat pemain yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen