Piala Juara-Juara STL: Kehangatan kembali terasa

Oleh Ammar Hakim 1 Mac 2021 1645
Piala Juara-Juara STL: Kehangatan kembali terasa
Kehangatan saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) kian terasa dengan kurang 24 jam lagi sebelum ia kembali membuka tirai.

Tumpuan turut terarah kepada penyandang juara, Johor Tigris yang mempunyai dua perejam berkualiti dalam pasukan Selatan itu yang mengidam mengekalkan kejuaraan di laman sendiri.

Haziq Norali banyak diturunkan jurulatih, Ahmad Jais Baharum, ketika rakan sepasukan, Noraizat Nordin, mengalami kemalangan tahun lalu.

Namun senario tampak memihak ketika ini buat pasukan dari Selatan itu, dengan Ahmad Jais mempunyai pilihan yang lebih ampuh di posisi perejam dengan kredibiliti dimiliki Noraizat, serta Haziq juga menyimpan hasrat untuk cuba tampil aksi terbaik bagi memikat kem kebangsaan.

"Saya dan Noraizat saling membantu antara satu sama lain. Jika diberikan peluang, saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam gelanggang," kata Haziq.

Johor Tigris tetap berwaspada dengan ancaman pendatang baru, Bomba Fighters menjelang pertemuan esok biarpun mencatat kemenangan ke atas Putrajaya Cyborg dalam aksi pertama Kumpulan A sebelum ia tergendala gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya sangat teruja untuk beraksi, kami akan cuba yang terbaik dalam saingan Piala Juara-Juara. Kami cuba melakukan yang terbaik ketika bertemu Bomba dan tidak memandang rendah kepada mana-mana pasukan."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen