Kejohanan Asia: Siti Safiyah bergelut dapatkan prestasi terbaik

Oleh Muzaffar Musa 15 Ogos 2020 52
Kejohanan Asia: Siti Safiyah bergelut dapatkan prestasi terbaik
Pemain boling tenpin negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, bergelut dengan masa untuk mencapai prestasi terbaik menjelang Kejohanan Boling Asia di Hong Kong, Januari depan.

Baginya, gelaran juara dunia sebanyak dua kali bukan jaminan untuk dia merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

Siti Safiyah Amirah antara pemain negara yang sedang berusaha mendapatkan semula rentak terbaik selepas berehat selama empat bulan berikutan pandemik COVID-19.

Dia berpeluang menguji prestasinya dalam satu kejohanan simulasi anjuran Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) bermula 24 ogos ini.

Ia akan menjadi medan pertamanya untuk mengukur prestasinya sebelum ke Hong Kong.

"Sasaran saya adalah untuk menempatkan diri dalam kedudukan tiga teratas kejohanan simulasi itu setiap hari kerana kami akan bermain dengan pasukan pelapis.

"Di situ prestasi kami akan dinilai kerana sepanjang tahun ini, kami tidak mempunyai kejohanan lain.

"Skuad kebangsaan akan melihat sama ada prestasi kami ada peningkatan atau tidak.

"Jadi, akan ada simulasi selama beberapa bulan ini sebelum ke Kejohanan Asia.

"Harap-harap dengan bantuan jurulatih dalam latihan setiap hari, saya dapat mengekalkan momentum dan terpilih untuk ke Kejohanan Asia," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen