Pemergian Haziq satu kehilangan

Oleh Ammar Hakim 14 Mei 2021 965
Pemergian Haziq satu kehilangan
Pemergian pemanah negara, Haziq Kamaruddin, merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja untuk skuad memanah malah arena sukan negara.

Allahyarham bukan sahaja seorang atlet yang berdedikasi malah memiliki peluang cerah untuk catat penampilan hatrik Sukan Olimpik menjelang temasya di Tokyo, Jepun, Julai depan.

Antara pencapaian terbaik Allahyarham ialah pingat perak recurve berpasukan lelaki Sukan Asia Incheon 2014 selain beraksi dalam Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

"Semua berjalan lancar sebelum ini namun selepas mendapatkan perkhabaran kematian Haziq, saya tidak dapat berkata apa-apa ketika ini," kata ketua jurulatih memanah negara, Lee Jae-hyung.

"Sebenarnya kami sedang berancang pasukan untuk menyertai kejohanan di Korea sebelum menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik namun ia tidak kesampaian. Kami berharap apa yang berlaku akan dijadikan sebagai suntikan semangat kepada rakan sepasukan lain untuk berjuang demi Malaysia," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Kami berharap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat Haziq dan akan kembali melihat kepada perancangan bagi saingan kelayakan ke Sukan Olimpik," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Apa yang mengecewakan, ada pihak mengambil kesempatan terhadap kematian Haziq.

Di sosial media, ada netizen mendakwa Allahyarham meninggal dunia ekoran kesan pengambilan dua dos vaksin menerusi program imunisasi Covid-19 Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Realitinya, keputusan proses bedah siasat oleh Hospital Kajang belum diperolehi.

Tuduhan itu cukup mengecewakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang turut berada di Hospital Kajang.

"Saya merayu di luar sana untuk menghormati keluarga arwah, kita semua harus tidak memperbesar-besarkan perkara yang tidak betul. Seramai 264 telah divaksinkan pada hari yang sama dan 242 individu mengambil vaksin buat kali kedua kerana terdapat beberapa atlet terjun yang menyertai pertandingan pada tarikh suntikan tersebut," katanya.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen