Perginya 'Robin Hood' negara

Oleh Ammar Hakim 14 Mei 2021 1162
Perginya 'Robin Hood' negara
Malaysia hari ini menangisi kehilangan robin hood negara -- Mohd Haziq Kamaruddin meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Kajang, Selangor.

Tragedi itu menjadi satu tamparan terhadap skuad kebangsaan memandangkan mereka berada di fasa akhir menjelang kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Paris, Perancis, bulan depan.

Ternyata harapan Allahyarham untuk berehat seketika sempena sambutan Aidilfitri satu petanda dia akan meninggalkan kita semua.

Mengimbau kronologi kematian Haziq:
 
1. 4 Mei, Allahyarham mengambil suntikan vaksin dos kedua 

2. Sehari kemudian, dia meneruskan rutin latihan program Road to Tokyo (RTT) seperti biasa.

3. Keputusan ujian RTK Allahyarham negatif, dan dibenarkan pulang ke kediaman sehari sebelum 1 Syawal.

4. Dia menyambut Aidilfitri di Sg. Long, Kajang.

5. Namun pada Syawal kedua, Allahyarham meninggal dunia secara mengejut di dalam ambulans selepas tidak sedarkan diri di kediamannya.

Sementara itu, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) akan bersidang dalam masa terdekat untuk memutuskan siapa yang akan jadi pengganti terbaik Allahyarham Haziq menjelang kejohanan kelayakan Olimpik, bulan depan.

Antara nama dicalonkan, Mohd Zarif Syahir Zolkefli yang sebelum ini diletakkan sebagai pemanah simpanan.

Pemanah pengganti akan digandingkan bersama Khairul Anuar Mohamad dan Mohd Akmal Nor Hasrin dengan misi buru kedudukan podium kejohanan kelayakan di Paris, bermula 18 Jun depan.

"Hanya terdapat tiga atlet bagi menghadapi saingan kelayakan, dalam situasi Covid-19 ketika ini, tiada peluang untuk mengadakan sesi kelayakan dan kami akan mengumumkan kemudian siapa yang bakal mengisi kekosongan Haziq," kata Presiden NAAM, Datuk Abd Hamid Hassan.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen