Pelari pecut sensasi negara, Azeem Fahmi, terus mencuri tumpuan peminat sukan apabila berjaya mencatat masa 10.13 saat dalam acara 100 meter pada Kejohanan NCAA Track & Field East Regional First Round di Amerika Syarikat.
Catatan ini bukan sahaja menjadi Season Best buat Azeem, malah kini antara masa terpantas dicatat oleh atlet Malaysia di pentas antarabangsa musim ini. Pencapaian ini membuktikan kemampuan beliau untuk bersaing di peringkat tinggi dan semakin hampir dengan rekod kebangsaan 100 meter Malaysia.
Menurut jurulatih dan peminat yang mengikuti aksi beliau, momentum Azeem semakin meningkat. Beliau dijadualkan turun beraksi sekali lagi pada hari Sabtu ini, bagi merebut tempat ke NCAA Track & Field Championships.
Dengan semangat juang yang tinggi dan fokus yang konsisten, Azeem Fahmi kini menjadi nama yang paling dinanti dalam arena pecutan negara. Sama-sama kita nantikan sama ada beliau akan berjaya memecah rekod kebangsaan dalam tempoh terdekat.