Skip to main content

Bola Sepak

Dominasi JDT: Simbol kehebatan atau cerminan jurang bola sepak Malaysia?

Dominasi JDT: Simbol kehebatan atau cerminan jurang bola sepak Malaysia?

Pesta gol Johor Darul Ta'zim dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia mungkin bukan lagi sesuatu yang mengejutkan -- namun kemenangan 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors jelas menggambarkan realiti sebenar landskap bola sepak tempatan ketika ini.

Selain menutup kempen liga dengan penuh bergaya, kemenangan tersebut turut tercipta sebagai kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super, sekali gus menambah satu lagi rekod luar biasa dalam era dominasi Harimau Selatan.

Advertisement

Lebih mengagumkan, skuad kendalian Xisco Munoz turut melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 108 perlawanan liga sejak April 2021 -- satu pencapaian yang hampir mustahil dibayangkan dalam bola sepak moden.

Namun di sebalik dominasi luar biasa JDT, persoalan lebih besar kembali timbul setiap kali musim berakhir -- ke manakah hala tuju sebenar Liga Super?

Lumrah setiap penghujung musim, isu status kewangan beberapa pasukan kembali menghantui saingan domestik. Ada yang masih bergelut melengkapkan keperluan operasi asas, malah tidak kurang juga berdepan masalah tunggakan gaji serta ketidakstabilan pengurusan.

Berdasarkan pandangan ramai pemerhati dan pakar bola sepak tempatan, kunci utama untuk merapatkan jurang dengan JDT terletak pada pengurusan kewangan kelab yang mampan dan profesional.

Model pengurusan JDT sering dijadikan penanda aras -- bukan semata-mata kerana kejayaan di atas padang, tetapi bagaimana kelab itu dibangunkan secara menyeluruh tanpa terlalu bergantung kepada dana kerajaan negeri.

Pelaburan korporat, pembangunan fasiliti, sistem akar umbi serta kemampuan membawa masuk pemain import berkualiti menjadi antara faktor utama yang membezakan JDT dengan pasukan lain ketika ini.

Keupayaan JDT menjarakkan 20 mata di hadapan pencabar terdekat, Kuching City, untuk mengekalkan kejuaraan liga buat kali ke-12 berturut-turut jelas menunjukkan tahap konsistensi yang sukar disaingi.

Namun persoalan yang semakin hangat diperdebatkan kini -- adakah dominasi berterusan ini akan mula menimbulkan rasa tawar hati dalam kalangan peminat bola sepak tempatan?

Atau sebenarnya, penyokong harus melihat dominasi JDT sebagai satu penanda aras baharu yang memaksa pasukan lain menjadi lebih bijak, lebih tersusun dan lebih profesional dalam merancang masa depan mereka?

Hakikatnya, jurang itu memang besar. Tetapi bola sepak Malaysia mungkin lebih memerlukan lebih banyak pasukan yang mahu mengejar standard JDT -- dan bukannya sekadar berharap dominasi itu akan berakhir dengan sendirinya.

Must Watch Video