Artikel 38, Perkara 5 yang memberikan laluan mudah bagi slot Naib Presiden kini menjadi persoalan.
Terdapat slot automatik yang diberikan kepada badan penganjur, Malaysia Football League (MFL), untuk mengisi kedudukan kedua bagi tiga posisi jawatan Naib Presiden.
Ia merujuk kepada draf perlembagaan baharu yang bakal dibahas menjelang Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, tidak berselindung di sebalik pendapatnya bahawa cadangan itu tidak melambangkan demokrasi dan hanya menjadi tiket mudah buat wakil MFL.
"Di manakah demokrasi yang dilaungkan? Ia perlu diperlihatkan dalam proses sebegini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Bagi saya ketiga-tiga jawatan Naib Presiden harus dipertandingkan. Jadi di kemudian hari, di antara tiga Naib Presiden itu, seorang akan dipilih oleh Exco untuk dilantik sebagai Presiden MFL.
"Ini kerana apa yang terjadi dalam MFL adalah tanggungjawab FAM sendiri. Kita pun tahu sebelum ini ada Exco FAM yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah MFL.
"Tujuannya adalah untuk memantau pergerakan, perjalanan liga dan sebagainya.
"Jadi, seandainya jawatan Naib Presiden kedua diberikan secara automatik kepada Presiden MFL, bagi saya ia tidak kena."
DS Shahril Mokhtar persoal kenapa perlu ada laluan mudah buat Presiden MFL mendapat posisi Naib Presiden kedua FAM tanpa perlu bertanding ?
Sewajarnya semua posisi perlu melibatkan undian agar ia tampak lebih telus apatah lagi ini melibatkan jawatankuasa eksekutif FAM pic.twitter.com/6vPhKkBLHG— FinaNasrom (@fnasrom) June 2, 2026