Di saat namanya dikaitkan dengan tawaran lumayan dari Jepun dan China, Peter Cklamovski, tidak melihatnya sebagai ‘racun’ yang mampu memisahkan dirinya dengan Harimau Malaya.
Pengendali dari Australia itu sebaliknya tetap berpegang kepada sumpah setia untuk terus bersama Malaysia meskipun hatinya masih berbekas dengan kecewa apabila impian ke Piala Asia di Arab Saudi sudah terkubur.
Advertisement
"Tawaran adalah normal, tiada bezanya.
"Tugas saya sentiasa dikelilingi spekulasi, sama ada kekal atau tidak -- adakalanya, saya ditepuk dibahu hanya kerana seseorang mengarahkan saya pergi.
"Saya tidak memikirkan hal itu dan buang tenaga untuk perkara yang tidak boleh dikawal.
"Kami perlu bersatu pada detik ini untuk mengharungi cabaran sukar di tempat lawan.
"Saya percaya bola sepak di negara ini mampu berkembang.
"Tawaran dari luar memang relevan tapi saya seronok di sini, saya menggemari bola sepak antarabangsa.
"Kami cuma menuju ke landasan yang tepat dalam soal perancangan dan itulah yang saya berikan tumpuan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Menurutnya lagi, hukuman ke atas Harimau Malaya kerana menurunkan pemain warisan yang tidak sah jelas menghampakan.
"Saya terkilan kecewa dan selain pening kepala, sebagaimana penyokong negara.
"Apa yang berlaku di ofis, tiada kena mengena dengan aksi di atas padang.
"Ia sama sekali di luar kawalan kami dan ia menghampakan kami," katanya.