“Insya-Allah", ringkas, namun penuh makna jawapan daripada pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak, yang memberi isyarat bahawa The Cats sudah bersedia untuk menyambut mimpi ke pentas Asia selaku naib juara Liga Super musim ini.
Di Stadium Hang Jebat, malam tadi kelab dari Bumi Kenyalang itu membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan 3-1 ke atas Melaka, satu kemenangan yang bukan sekadar menambah mata malah mencerahkan lagi harapan mereka.
Advertisement
Setiap baki perlawanan ibarat final, Aidil menyedari pasukannya tidak boleh tercicir mata jika mahu terus mengekalkan kedudukan di belakang juara liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Situasi itu menyaksikan Kuching City turun dengan misi wajib menang apabila bersaing sengit bersama Selangor bagi merebut gelaran naib juara.
"Insya-Allah. Kami tidak mampu mengawal keputusan, kami kena bekerja keras untuk mencapainya.
"Kami perlu berdoa dan melakukan persiapan rapi untuk mencapainya.
"Apa yang penting kami mahu melakar sejarah buat Kuching City sambil berharap mampu menghadiahkan sesuatu kepada penyokong dalam perlawanan terakhir," katanya.
Walaupun Melaka mencipta detik cemas menerusi gol penyamaan Umaar Hakeem Suhar Redzuan, barisan pelawat tidak hilang fokus untuk terus mengasak.
Penyerang import, Jerome Etame, muncul wira apabila meledak hatrik dengan jaringan dalam setiap babak perlawanan untuk memastikan The Cats pulang dengan mata penuh.
Kemenangan ini juga memberi keyakinan bahawa langit Asia kian hampir untuk digapai dengan Kuala Lumpur (KL) City bakal menjadi ujian terakhir saingan liga musim ini.
"Tiga mata ini penting untuk kami bawa balik kerana selepas ini, kami akan menghadapi KL City di tempat sendiri, di depan penyokong sendiri dan ia akan menjadi pendorong kami untuk mengesahkan tempat kedua liga.
"Saya gembira mencatat hatrik sulung ini," katanya.