Suasana selepas kemenangan Liverpool ke atas Wrexham dalam aksi pramusim di New York bertukar tegang apabila Curtis Jones dan Dominik Szoboszlai dilihat bertikam lidah di atas padang.
Insiden itu dipercayai berlaku sejurus selepas Szoboszlai dikeluarkan daripada permainan selepas mencipta bantuan gol kepada Rio Ngumoha.
Sebelum meninggalkan padang, pemain tengah Hungary itu menanggalkan lilitan kapten dan menyerahkannya kepada Kostas Tsimikas, yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Keputusan itu dikatakan menjadi punca ketegangan apabila Jones dilihat menghampiri Szoboszlai dalam keadaan beremosi. Beberapa pemain Liverpool turut campur tangan bagi meredakan keadaan.
Walaupun punca sebenar pertelingkahan itu tidak disahkan, ramai penyokong membuat spekulasi bahawa Jones kurang senang dengan keputusan Szoboszlai menyerahkan lilitan kapten kepada Tsimikas, dan bukannya kepada beliau yang juga produk akademi Liverpool.
Looks like the captains armband was the subject of the argument the other day with Curtis Jones 🤷♂️ pic.twitter.com/oveXpUQXWA
— anfield social (@anfieldsociaI) July 31, 2026
Keadaan menjadi makin memuncak apabila Tsimikas menyertai perbincangan tersebut sebelum bertindak mencampakkan lilitan kapten ke atas padang.
Jones kemudian mengambil semula lilitan itu sebelum dilihat memeluk Szoboszlai, memberi bayangan bahawa perselisihan faham berkenaan berjaya diselesaikan.
Ketika ditanya mengenai insiden tersebut dalam sidang media selepas perlawanan, Szoboszlai memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan hubungan kedua-dua pemain kembali pulih apabila Jones dan Szoboszlai dilihat berlatih bersama dalam suasana positif menjelang aksi pramusim Liverpool seterusnya.
Curtis Jones and Dominik Szoboszlai seem to have resolved their differences in training following a heated argument after their win against Wrexham 🤝 pic.twitter.com/66eHdCDcTE
— Match of the Day (@BBCMOTD) July 31, 2026