Skip to main content

Golf

NJDP/NADP MGA cemerlang di Kejohanan Amateur Terbuka Perlis 2026

Golf

Program pembangunan golf junior Malaysia di bawah NJDP/NADP MGA sekali lagi membuktikan keberkesanan program pembangunan pemain apabila berjaya mencatat kejayaan membanggakan di Kejohanan Amateur Terbuka Perlis 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2026.

Pemain muda berbakat, Nurlyana Yasmin muncul juara kategori wanita selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan. Kejayaan tersebut hadir selepas beliau turut mencipta kejayaan di Indonesia baru-baru ini, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten hasil pembangunan di bawah program NJDP MGA.

Nurlyana yang berasal dari Kelantan mula dicungkil bakatnya oleh NJDP pada tahun 2023 dan kini menjadi antara contoh terbaik kejayaan pembangunan pemain junior negara.

Beliau berjaya menamatkan kejohanan dengan catatan 10 atas par untuk mengatasi pemain Malaysia yang baru pulang dari Amerika, Ilysia Yasmin, dengan kelebihan satu pukulan.

Tempat ketiga pula menjadi milik seorang lagi pemain berbakat NJDP, Ngo Yi Belle, yang ketika ini sedang dalam proses memperbaiki prestasi sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Jakarta pada awal Jun nanti.

Bagi kategori lelaki, Felix Gan turut menyerlah apabila berjaya menduduki tempat kedua di belakang pemain kebangsaan, Nor Haqiem Nor Hadi, dengan perbezaan satu pukulan sahaja. Kejayaan Felix dianggap amat membanggakan selepas beliau melalui proses pembangunan yang panjang bersama NJDP sebelum mula menunjukkan kematangan dalam permainan kompetitif.

Pengerusi Program Pembangunan Junior Malaysia di bawah MGA, Mohd Fauzi Mesran berkata kejayaan tersebut membuktikan NJDP berada di landasan tepat dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk negara.

“Tiada jalan mudah untuk berjaya. NJDP akan terus menyokong dan menyediakan platform terbaik kepada pemain-pemain junior Malaysia. Kami yakin program ini akan terus berhasil melahirkan pemain-pemain berbakat untuk negara,” katanya.

Kejayaan di Perlis ini turut menjadi bukti bahawa kesabaran, keikhlasan dan komitmen dalam pembangunan pemain muda akhirnya mampu memberikan hasil yang membanggakan buat negara dan arena golf junior Malaysia.

Related Topics

Must Watch Video