Jambatan Angkat, Kuala Terengganu dalam satu kenyataan kesal dengan tindakan sekumpulan penyokong Selangor yang mencetuskan impak bahaya kepada pengguna awam yang menggunakan laluan ikonik tersebut.
Pihak pengurusan memandang serius insiden tular yang memaparkan perbuatan menyalakan dan menggunakan flare di kawasan Drawbridge. Tindakan tersebut adalah satu perbuatan berbahaya, tidak selamat dan sama sekali tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi di lokasi tumpuan orang awam.
Advertisement
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan berbahaya, melanggar undang-undang atau menjejaskan keselamatan awam di Drawbridge. Pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan sedemikian.
"Ini adalah peringatan keras kepada semua pihak bahawa keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama. Sebarang bentuk tindakan yang boleh mengundang bahaya, kecederaan atau kerosakan Drawbridge adalah tidak akan dikompromi," katanya di Facebook.
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan sekumpulan penyokong Selangor berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan tersebut.
Kejadian itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus pada hari sama.