Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk mengembalikan semula sistem pemarkahan 15 mata dilihat mampu memberi dimensi berbeza kepada corak permainan badminton moden sekiranya ujian pelaksanaan berjalan lancar.
Bekas ahli jawatankuasa kejurulatihan dan latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norbakti Alias, berpendapat sistem tersebut lebih memihak kepada pemain yang memiliki corak permainan pantas dan agresif berbanding aksi rali panjang.
Advertisement
Tegasnya, pemain yang bermain menggunakan kelajuan mampu mematikan mata dengan lebih cepat tanpa perlu mengerah terlalu banyak tenaga sepanjang perlawanan.
"Pemain yang terlalu bergantung kepada rali akan berasa sedikit susah dan kelebihan kepada permainan pantas," katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui perubahan sistem pemarkahan seperti ini boleh menimbulkan persepsi bahawa sukan badminton seakan tidak stabil dari sudut format pertandingan.
"Pertukaran sistem mata ini seolah-olah menunjukkan sukan ini belum stabil.
"Kenapa mesti ditukar? Tenis pula tidak sibuk nak tukar sistem pemarkahan," katanya.