Impian Scotland untuk mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia akhirnya berkecai apabila mereka disahkan tersingkir selepas tamat saingan peringkat kumpulan.
Nasib Scotland bergantung kepada keputusan perlawanan kumpulan lain selepas mereka menamatkan kempen Kumpulan C di tempat ketiga dengan tiga mata. Namun, kemenangan Croatia ke atas Ghana menutup terus peluang mereka untuk muncul sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik yang layak ke Pusingan 32.
Lebih menyedihkan, kegagalan kali ini menyaksikan Scotland mencipta rekod yang langsung tidak dibanggakan.
Ia merupakan kali kesembilan Scotland tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia, sekali gus menjadikan mereka negara yang paling banyak gagal melepasi saingan kumpulan dalam sejarah kejohanan itu.
Sepanjang kempen Piala Dunia 2026, Scotland memulakan cabaran dengan kemenangan tipis ke atas Haiti sebelum tewas kepada Maghribi dan dibelasah Brazil 3-0 dalam aksi terakhir kumpulan. Kekalahan besar kepada Brazil menyebabkan perbezaan jaringan mereka merosot kepada -3, sekali gus menjejaskan peluang untuk mara sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.
Pengurus Steve Clarke mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang yang ada sepanjang kejohanan dan menerima hakikat bahawa mereka tidak melakukan secukupnya untuk layak ke pusingan kalah mati.
Kegagalan itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak Scotland mengenai masa depan Clarke, walaupun beliau masih mempunyai kontrak untuk terus mengendalikan pasukan menjelang kempen seterusnya.
Bagi penyokong setia Tartan Army, penantian untuk melihat Scotland melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia masih berterusan. Sejak penampilan pertama mereka pada tahun 1954, Scotland masih belum pernah berjaya melangkah ke pusingan kalah mati, dan edisi 2026 sekali lagi berakhir dengan kekecewaan.