Kapten UM Damansara United, Shivan Pillay, mengakui bersedia untuk menyahut cabaran yang lebih besar sekiranya pasukannya diberikan peluang beraksi dalam Liga Super Malaysia musim 2026/27.
Perkembangan itu hadir selepas UM Damansara United difahamkan menjadi antara calon utama untuk dinaikkan ke Liga Super susulan kejayaan memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa dalam kitaran pelesenan MFL 2025/26.
Bagi Shivan, peluang beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara bukan sahaja menjadi impian peribadi, malah satu pengiktirafan terhadap usaha keras seluruh pasukan sepanjang musim lalu.
“Saya sentiasa bersedia untuk cabaran yang lebih tinggi. Jika UM Damansara United diberi peluang beraksi dalam Liga Super, sudah tentu saya mahu membantu pasukan bersaing dengan sebaik mungkin,” katanya.
Menurut laporan First Instance Body (FIB), proses penilaian pelesenan dibuat secara menyeluruh berdasarkan enam aspek utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.
UM Damansara United dilihat memenuhi kriteria yang ditetapkan, sekali gus meletakkan kelab dari Lembah Klang itu dalam kedudukan terbaik untuk dipertimbangkan menyertai Liga Super musim depan.
Jika perkara itu menjadi kenyataan, ia bakal menyaksikan Shivan kembali beraksi di pentas Liga Super selepas semusim beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro.
Lebih manis, beliau akan membawa bersama keyakinan tinggi hasil prestasi positif pasukan yang berjaya menamatkan saingan Liga A1 di tangga keenam musim ini.
Sebagai kapten pasukan, Shivan memainkan peranan penting dalam memimpin skuad UM Damansara United sepanjang kempen liga dan menjadi antara tonggak utama yang membantu pasukan mencapai keputusan memberangsangkan.
Kenaikan ke Liga Super bukan sahaja akan membuka lembaran baharu buat kelab itu, malah memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas yang lebih kompetitif.
Kini, segala tumpuan terarah kepada keputusan rasmi pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dengan penyokong UM Damansara United pastinya berharap impian melihat pasukan mereka beraksi dalam Liga Super akhirnya menjadi kenyataan.
Sekiranya berjaya, Shivan Pillay dan rakan-rakan bakal berdepan cabaran lebih besar, namun kapten pasukan itu jelas sudah bersedia untuk “naik level” dan membawa UM Damansara United melangkah lebih jauh dalam bola sepak Malaysia.