Penolong ketua jurulatih berbasikal trek pelapis kebangsaan, Azri Yusoh, menganggap Siri Trek YSD sebagai platform penting buat skuad negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Remaja yang dijadual berlangsung pada Ogos nanti.
Menurut Azri, kehadiran pelumba dari New Zealand, Australia dan Jepun -- yang turut bakal bersaing di kejohanan dunia -- menjadikan YSD medan terbaik untuk atlet muda negara menimba pengalaman dalam suasana kompetitif bertaraf antarabangsa.
Advertisement
Sementara itu, pelumba muda sensasi negara, Muhammad Eirzam Eidham, yang meraih pingat perak acara keirin remaja di Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 di Filipina baru-baru ini, berharap momentum cemerlang itu dapat diteruskan dalam Siri Trek YSD.
Eirzam turut mengakui mahu menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada ketua jurulatihnya, Hermann Terryn, yang bakal meninggalkan pasukan pada penghujung bulan ini.
'Wira yang tidak didendang', -- mungkin itu gambaran paling tepat buat Hermann Terryn yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai ketua jurulatih berbasikal trek pelapis kebangsaan pada penghujung bulan ini.
Siri Trek YSD 2026 pusingan pertama hingga ketiga menjadi tugasan terakhir Terryn bersama skuad pelapis negara sebelum beliau menyerahkan baton perjuangan kepada pembantunya, Azri Yusoh.
Sepanjang tempoh bersama pasukan, Terryn memainkan peranan besar dalam membentuk asas pembangunan atlet muda negara, dengan fokus utama memastikan skuad pelapis berada di landasan terbaik sebelum peralihan kepimpinan berlaku.
Menurutnya, Malaysia masih memerlukan lebih ramai pelumba berbakat untuk terus bersaing di peringkat tertinggi, dan platform seperti Siri Trek YSD perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.
Terryn turut berharap generasi muda yang ada ketika ini akan terus dipelihara dan dibimbing dengan baik demi kesinambungan prestasi berbasikal trek negara pada masa depan.
Dalam masa sama, bekas ketua jurulatih berbasikal trek Perancis itu mahu anak buahnya meneruskan momentum positif yang dipamerkan, khususnya selepas menyaksikan sendiri tahap sebenar persaingan dunia ketika Piala Dunia Trek UCI baru-baru ini.
Dia percaya pengalaman melihat standard tertinggi dunia secara dekat mampu menjadi penanda aras buat pelumba muda negara untuk memahami tahap yang perlu mereka capai sekiranya mahu bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.