Pemain bola sepak Sepanyol, Rafa Mir, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita, menurut keputusan mahkamah di Valencia hari ini.
Keputusan itu merupakan tamparan besar buat penyerang berusia 28 tahun tersebut yang pernah mewakili beberapa kelab ternama Eropah termasuk Wolverhampton Wanderers, Sevilla dan Valencia.
Menurut dokumen mahkamah, insiden itu berlaku pada September 2024 selepas Mir dan seorang lagi pemain bola sepak bertemu dengan dua wanita muda di sebuah kelab malam di Valencia sebelum mengajak mereka ke kediamannya untuk meneruskan majlis sosial.
Mahkamah mendapati bahawa Mir telah melakukan serangan seksual terhadap salah seorang wanita berkenaan di kawasan kolam renang dan juga di dalam bilik air rumahnya.
Hakim dalam penghakiman tersebut menyatakan bahawa keterangan mangsa adalah konsisten, kukuh dan disokong oleh pelbagai bukti lain termasuk keterangan saksi serta laporan perubatan forensik.
Mahkamah turut memerintahkan Mir membayar pampasan sebanyak EURO64,000 (kira-kira RM320,000) kepada mangsa atas kecederaan dan trauma yang dialami.
Ketika ditahan pada 2024, Mir menafikan semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya. Melalui peguamnya, beliau mendakwa hubungan yang berlaku adalah secara suka sama suka dan menegaskan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak hujah pembelaan tersebut selepas meneliti keseluruhan bukti yang dibentangkan sepanjang perbicaraan.
Keputusan itu masih belum muktamad kerana Mir mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.
Mir yang kini beraksi bersama Elche berada di bawah kontrak Valencia ketika kejadian berlaku. Beliau juga pernah mewakili skuad kebangsaan Sepanyol termasuk menyertai pasukan negara ke Sukan Olimpik Tokyo.
Kes tersebut sekali lagi mengundang perhatian terhadap isu gangguan dan keganasan seksual dalam arena sukan Sepanyol yang sebelum ini turut menyaksikan beberapa kontroversi besar membabitkan tokoh bola sepak negara itu.
Sekiranya rayuan gagal, hukuman berkenaan boleh menjejaskan secara serius karier profesional Mir yang kini berada pada usia kemuncak sebagai pemain bola sepak.
Sabitan itu menjadikan beliau antara pemain berprofil tinggi terbaru di Sepanyol yang berdepan hukuman berat akibat kesalahan jenayah seksual, sekali gus menghantar mesej tegas bahawa individu terkenal juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.
Skuad kebangsaan Sepanyol akan membuka tirai aksi Piala Dunia bertemu Cape Verde jam 12 tengah malam ini, Rafa tidak tersenarai skuad La Roja bagi edisi kali ini.