Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mewajibkan setiap pasukan yang bertanding dalam kejohanan wanita di bawah anjurannya perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang jurulatih wanita sama ada sebagai ketua jurulatih atau penolong jurulatih.
Peraturan baru yang diluluskan majlis FIFA itu bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang kejurulatihan dalam peringkat tertinggi.
Advertisement
Ketetapan itu akan mula dikuatkuasakan pada kejohanan Piala Dunia Wanita bawah 17 tahun (B-17), Piala Dunia Wanita B-20 serta Piala Juara-Juara Wanita FIFA tahun ini, dan turut melibatkan Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil tahun hadapan.
Menerusi peraturan itu, setiap pasukan juga diwajibkan menempatkan sekurang-kurangnya dua pegawai wanita di bangku simpanan pasukan sepanjang perlawanan.
Ketua Pegawai Bola Sepak FIFA, Jill Ellis berkata, jumlah wanita dalam bidang kejurulatihan masih tidak mencukupi ketika ini.
“Kita perlu mempercepat perubahan dengan menyediakan laluan yang lebih jelas, memperluas peluang serta meningkatkan keterlibatan wanita dalam sesebuah pasukan.
“Peraturan baru FIFA bersama program pembangunan yang disasarkan bakal menjadi pelaburan penting kepada generasi jurulatih wanita masa kini dan akan datang,” katanya.
Dalam Piala Dunia Wanita 2023, hanya 12 daripada 32 ketua jurulatih terdiri daripada wanita, satu angka yang menurut FIFA tidak mencerminkan perkembangan pesat bola sepak wanita di peringkat global.
Jurulatih England, Sarina Wiegman, merupakan satu-satunya jurulatih wanita yang berjaya melepasi peringkat pusingan 16 terakhir sebelum membawa skuad The Lionesses muncul naib juara kejohanan itu.
Tinjauan FIFA pada 2023 turut mendapati bahawa secara purata hanya lima peratus jurulatih dalam setiap persatuan ahlinya, merangkumi pasukan lelaki dan wanita, terdiri daripada wanita.
Laporan penanda aras “Setting the Pace” 2024 pula mendapati hanya 22 peratus ketua jurulatih dalam 86 liga bola sepak wanita di seluruh dunia adalah wanita.
FIFA menjelaskan peraturan baru itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memastikan perwakilan wanita dalam peranan teknikal dan kepimpinan selari dengan perkembangan pesat bola sepak wanita.
Sebagai usaha berterusan, FIFA turut meningkatkan sokongan terhadap pembangunan jurulatih wanita termasuk menawarkan biasiswa kepada jurulatih wanita dalam Liga Super Wanita bagi mendapatkan Lesen Pro atau Lesen A Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).