Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) selepas didapati melanggar peraturan berkaitan anti diskriminasi dan fair play.
Keputusan itu dibuat susulan siasatan FIFA terhadap aduan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), yang mendakwa wujudnya isu diskriminasi dalam bola sepak Israel.
Advertisement
Sebagai hukuman, IFA didenda sebanyak 150,000 franc Swiss (lebih RM700,000), selain menerima amaran rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.
Selain denda, FIFA turut mengarahkan IFA melaksanakan pelan pencegahan diskriminasi secara menyeluruh, termasuk kempen pendidikan, pemantauan serta inisiatif kesedaran di peringkat domestik.
Malah, IFA juga diwajibkan memaparkan mesej anti diskriminasi seperti 'Football Unites the World - No to Discrimination' dalam beberapa perlawanan antarabangsa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha membanteras isu tersebut.
Dalam penjelasan FIFA, tindakan itu diambil kerana kegagalan IFA menangani isu perkauman dan diskriminasi secara berkesan, termasuk melibatkan penyokong serta kenyataan berunsur sensitif daripada pihak berkaitan bola sepak negara itu.
Walaupun dikenakan tindakan disiplin, FIFA dalam masa sama tidak mengambil sebarang langkah terhadap kelab Israel yang beraksi di kawasan penempatan di Tebing Barat, dengan alasan status undang-undang wilayah tersebut masih kompleks dan belum dimuktamadkan di peringkat antarabangsa.
Isu ini terus menjadi perhatian dunia bola sepak, terutama dalam konteks konflik berpanjangan antara Israel dan Palestin yang turut memberi kesan kepada arena sukan antarabangsa.