Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, berdepan dilema besar dalam menentukan watak paling sesuai menggalas peranan sebagai penggerak utama serangan (No. 10) menjelang Piala Dunia FIFA yang bakal membuka tirai Jun ini.
Pengendali dari Jerman itu dijangka menamakan skuad terakhir bagi aksi persahabatan menentang Uruguay dan Jepun, sekali gus memberi bayangan awal senarai pemain yang bakal dibawa ke kejohanan dunia paling berprestij itu.
Advertisement
England mara ke Piala Dunia dengan rekod kelayakan sempurna, namun beberapa persoalan utama masih menghantui Tuchel terutama membabitkan posisi ‘playmaker’ yang menjadi nadi kreativiti pasukan.
Tumpuan utama persaingan posisi nombor sepuluh itu kini terarah kepada bintang Real Madrid, Jude Bellingham, yang sebelum ini terlepas kem latihan akibat kecederaan.
Walaupun masih muda, Bellingham sudah membuktikan kematangannya di pentas besar termasuk aksi cemerlang dalam edisi Euro lalu.
Namun, tempatnya kini dicabar hebat pemain tengah Aston Villa, Morgan Rogers, yang menyerlah sepanjang kempen kelayakan.
Tuchel sebelum ini menegaskan dia lebih mengutamakan keserasian sistem berbanding sekadar menurunkan barisan pemain ternama.
“Saya tidak mahu meletakkan pemain di posisi yang bukan kekuatan mereka semata-mata untuk memuatkan semua pemain terbaik dalam satu kesebelasan,” katanya.
Selain itu, dua lagi nama besar turut memburu posisi sama adalah tonggak Chelsea, Cole Palmer, serta pemain paling kreatif Manchester City, Phil Foden.
Palmer dilihat bergelut dengan masalah kecederaan musim ini manakala peranan Foden pula sering berubah-ubah dalam sistem Tuchel.
Pemilihan skuad kali ini dianggap petunjuk penting bagi Tuchel untuk memuktamadkan perancangan taktikalnya menjelang aksi pembukaan Piala Dunia nanti.
Keputusan Tuchel itu bukan sahaja bakal menentukan corak permainan pasukan, malah mencorakkan harapan penyokong The Three Lions dalam misi memburu kejuaraan dunia itu.