Persatuan Bolasepak England (FA) bertindak mendakwa pengurus sementara Tottenham Hotspur, Igor Tudor, atas pertuduhan salah laku susulan kenyataannya yang mengkritik pegawai perlawanan selepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham, awal bulan ini.
Dalam perlawanan itu, Tudor meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan selepas kekalahan 2-1 di laman lawan dengan mendakwa pengadil memihak kepada pasukan tuan rumah.
Advertisement
“Saya tidak menyukai pengadil hari ini, terlalu memihak kepada pasukan tuan rumah. Semua keputusan memihak kepada mereka.
“Dia tidak memahami bola sepak serta tidak dapat menilai apa yang betul dan salah,” katanya dalam satu temu bual selepas perlawanan.
Menurut kenyataan FA, komen tersebut dianggap mempunyai unsur berat sebelah, mempertikai integriti pengadil serta berunsur peribadi dan menyinggung pegawai perlawanan.
Tudor diberikan tempoh sehingga 23 Mac untuk mengemukakan maklum balas terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Tottenham kini menghuni tangga ke-16 liga bakal berdepan Nottingham Forest dalam aksi seterusnya, Ahad ini.