Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia, memberikan saranan ringkas kepada pemain kebangsaan yang tidak berhasrat untuk menetap di asrama yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia.
"Peraturan tetap peraturan. Jika mahu tinggal di luar ABM (Akademi Badminton Malaysia), contohnya pergilah berkahwin.
Advertisement
"Setahu saya, negara lain juga mempunyai peraturan yang serupa. Di China, saya rasa pemain yang sudah berkahwin pun masih perlu tinggal di asrama," kata Aaron kepada media tempatan, The Star.
Pemain nombor dua dunia itu mengulas mengenai isu disiplin di ABM membabitkan beberapa pemain yang dilaporkan kerap melanggar waktu perintah berkurung dan pulang lewat.
Segelintir pemain juga enggan tinggal di asrama, yang mana ia jelas melanggar peraturan bagi atlet yang masih belum berkahwin.
Lee Chong Wei, selaku Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, telah memberikan amaran terakhir kepada pemain terbabit dan menegaskan mereka akan berdepan tindakan disiplin.
Pengarah Kejurulatihan Bergu Kebangsaan, Rexy Mainaky, turut meluahkan kekecewaannya sambil menyatakan beberapa pemain tetap berdegil meskipun sudah diberi teguran berulang kali mengenai tingkah laku mereka.
Mesyuarat Ahli Majlis BAM, yang dijadualkan berlangsung sewaktu kejohanan Masters Malaysia minggu depan, dijangka akan memutuskan bentuk hukuman yang bakal dikenakan terhadap pemain yang terus ingkar.
