Memiliki keadaan kaki rata (flat feet) bukan alasan buat atlet muda dancesport negara, Angel Wong Zi Kee, untuk menguburkan impiannya menjadi antara penari terbaik di pentas antarabangsa.
Walaupun keadaan fizikal itu menjadi antara cabaran utama dalam menghasilkan postur, imbangan badan dan teknik pergerakan yang sempurna, Angel memilih untuk terus berjuang dan memperbaiki setiap aspek persembahannya.
Menurut jurulatih dancesport negara, Chua Zjen Fong, keadaan kaki rata sememangnya memberi kesan kepada kualiti pergerakan, sekali gus boleh mempengaruhi pemarkahan yang diberikan oleh para juri dalam pertandingan.
Angel juga mengakui dia memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai gerak tari baharu berbanding atlet lain.
Namun, kekurangan itu tidak pernah mematahkan semangat atlet cilik berkenaan untuk terus berlatih dan meningkatkan kemampuannya.
Malah, dengan bimbingan berterusan daripada jurulatih, Angel kini semakin memahami cara menyesuaikan teknik tariannya bagi mengurangkan kesan yang berpunca daripada keadaan fizikal tersebut.
Walaupun peluang untuk meraih gelaran di pentas antarabangsa masih memerlukan masa dan pengalaman, Angel percaya usaha berterusan serta disiplin tinggi mampu membawanya berdiri sama hebat dengan penari-penari terbaik dunia yang seusia dengannya.
Apa yang paling menonjol dalam diri Angel ialah sikapnya yang tidak mudah mengalah.
Setiap kekurangan dijadikan motivasi untuk terus berkembang, membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya ditentukan oleh kelebihan fizikal semata-mata, sebaliknya oleh kesungguhan dan keazaman.
Dalam Malaysia Dancesport Championship kali ini, Angel beraksi dalam kategori Juvenile 1 bagi disiplin Latin dan Standard, menjadikan kejohanan itu satu lagi pentas penting untuk menimba pengalaman serta mengukur tahap kemampuannya dalam sukan yang semakin berkembang di negara ini.