Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, berpendapat rombakan besar-besaran perlu terjadi menjelang Kongres Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini di diaudit sendiri Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Ia termasuk aspek pentadbiran FAM yang perlu dibarisi pemimpin terdiri daripada golongan profesional dan juga orang korporat seperti dirinya untuk bergabung tenaga dalam usaha memulihkan semula reputasi badan induk bola sepak kebangsaan itu bersama-sama.
Advertisement
Shahril tidak menolak jika namanya tercalon untuk berada dalam barisan exco malah jika diberi peluang, dia hanya ingin berada dalam FAM untuk satu penggal sahaja sebelum melepaskan baton kepada calon yang lain pula.
"Tengok keadaan tetapi rombakan besar-besaran harus berlaku.
"Kalau kita betul-betul ada perubahan bola sepak yang lebih baik untuk negara, muka-muka atau ahli korporat harus bertanding untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.
"Kalau ada pencalonan, kalau ada yang percaya dan kalau ada rezeki, saya cuma inginkan satu penggal sahaja.
"Selepas sudah perbetulkan (FAM), saya akan buka jalan kepada yang lain," katanya.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai spekulasi mengaitkan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan juga Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai calon presiden FAM yang baru, Shahril berpendapat sukar untuk perkara itu berlaku.
"Pendapat peribadi saya, baginda (Tunku) tidak akan masuk bertanding (sebab) baginda akan terikat.
"Tapi kalau dalam beberapa bulan ini baginda rasa nak masuk bertanding, terpulang.
"Bagi Hamidin (pula), dia adalah sahabat dan abang saya tapi kalau ada ruang berilah laluan kepada muka-muka baru.
"Dia masih boleh kekal sebagai presiden kehormat sebagai penasihat berdasarkan pengalamannya dalam AFC dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
"Siapa (jua) calonnya, terpulang kepada ahli gabungan untuk menentukannya," jelasnya.