Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Penentuan Selangor-Kuching City ke final bakal diketahui minggu depan

SF

Kim Pan-gon menghembus nafas lega apabila Selangor menyamakan kedudukan pada minit akhir dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuching City di tempat sendiri, sebentar tadi.

Ia, hampir memberikan kekalahan buat kali pertama untuk pengendali kelahiran Korea Selatan itu sejak mengambil alih tugasan sejak Januari lalu, namun Chrigor Moraes menjadi wira Gergasi Merah untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Petaling Jaya.

Advertisement

Terlebih dahulu, pemain import The Cats, Ronald Ngah Wanja, meletakkan pelawat di hadapan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 selepas dijatuhkan dalam kawasan berbahaya.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak merantai pergerakan bintang Harimau Malaya, Faisal Halim, dan berjaya mengekang beberapa peluang tuan rumah.

Terjadi sedikit ketegangan apabila tolak-menolak berlaku sehingga beberapa pemain dilayangkan kad kuning. Permainan kerap terhenti ekoran banyak pelanggaran antara kedua-dua pasukan. Situasi hangat itu menaikkan atmosfera penyokong yang hadir ke venue. 

Kuching City dengan impian untuk mara ke final buat julung kali dalam sejarah sejak penubuhan kelab cuba untuk bertahan dan menginginkan bekalan satu jaringan tetapi segalanya berubah pada minit ke-93.

Tampanan Moraes hasil hantaran Syahir Bashah berhasil menewaskan bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli, sekali gus menghangatkan suasana stadium menandakan aksi masih lagi terbuka dan perebutan ke final akan diketahui pada 18 April ini.

Untuk rekod, Kim Pan-gon masih mengekalkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan domestik (Liga Super dan Piala Malaysia) termasuk dua aksi dalam Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee.
 

Must Watch Video