Dunia bola sepak sekali lagi digemparkan apabila beberapa letupan kuat dilaporkan berlaku di Riyadh 28 Februari lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan bintang antarabangsa yang beraksi dalam Liga Pro Saudi termasuk bintang sensasi, Cristiano Ronaldo.
Insiden itu berlaku susulan serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Advertisement
Riyadh merupakan pangkalan kepada beberapa kelab utama Liga Pro Saudi termasuk Al-Nassr FC, Al-Hilal SFC, Al-Shabab FC dan Al-Riyadh SC.
Sejurus laporan letupan tersebar, media sosial seperti X dan Instagram dibanjiri mesej kebimbangan daripada penyokong bola sepak global. Nama Ronaldo menjadi antara topik paling hangat apabila peminat memanjatkan doa agar beliau dan pemain lain berada dalam keadaan selamat.
Selain Ronaldo, penyerang baharu Al-Hilal, Karim Benzema, turut disebut-sebut dalam gelombang doa tersebut.
“Ya Tuhan, harap Ronaldo selamat. Tolong pastikan dia selamat.”
“Semoga Cristiano Ronaldo dan semua pemain serta rakyat di sana dilindungi. Biarlah keamanan kembali.”
“Tolong jaga Ronaldo untuk saya, saya belum sempat jumpa dia lagi.”
Ketegangan memuncak pada pagi 28 Februari apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ketenteraan, yang disahkan oleh Presiden AS,Donald Trump.
Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan fasiliti ketenteraan dan kediaman Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan operasi ketenteraan dinamakan 'True Promise 4'.
Menurut laporan Al-Jazeera, Kementerian Luar Arab Saudi mengesahkan Riyadh antara sasaran yang dikenal pasti. Bagaimanapun, pihak berkuasa Saudi memaklumkan bahawa semua serangan yang menuju ke ibu negara berjaya dipintas dan dineutralkan oleh sistem pertahanan negara.
Insiden itu berlaku ketika Liga Pro Saudi memasuki fasa kritikal musim 2026, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada liga itu akan terjejas atau digantung sementara.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan keadaan berada dalam kawalan selepas ancaman berjaya dipatahkan. Namun, situasi geopolitik yang tidak menentu terus menjadi perhatian peminat dan pemerhati sukan global.